Sunday, March 7, 2010

1 Ilmu 1 Ummah

Assalamualaikum kpd sahabat-sahabat yg di muliakan Allah,

Pertamanya, marilah kita merafakkan seinfiniti kesyukuran kpd Allah, Sang Khaliq pencipta alam semesta, selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, para tabi’in, dan tabi’ tabi’in..

Setiap manusia pastinya telah dikurniakan oleh Allah akal untuk tujuan membezakannya dengan makhluk lain. Ketika manusia dijadikan, Allah meletakkan amanah besar iaitu menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Pengurniaan amanah ini meletakkan manusia ke kedudukan yang begitu tinggi melebihi makhluk Allah lain. Oleh itu, kita sewajarnya mensyukuri anugerah yg telah diberikan Allah dan seharusnya mempergunakannya dengan sebaik-baiknya demi mempertingkatkan kedudukan kita di sisi Allah.

Akal adalah sesuatu yang amat berharga bagi manusia dan tidak dikurniakan kepada haiwan mahupun benda hidupan yg lain di muka bumi ini. Disebabkan kelebihan akal yang dikurniakan oleh Allah ini, manusia mampu untuk mencipta malah merekacipta pelbagai bentuk teknologi yang memberikan lebih banyak kemudahan dalam kehidupan. Di dalam memelihara kemurnian dan kesihatan akal, setiap individu harus menyedari bahawa anugerah Allah yang amat berharga itu tidak akan berguna andainya tidak disusuli oleh amalan dan kewajipan yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Sebagai seorang muslim dan muslimah, kita perlu meyakini dan menjaga serta memelihara akal serta menggunakan untuk mencari nikmat Allah. Ianya merupakan satu perkara wajib dan amat dituntut oleh Islam sendiri. Antara kewajipan yang dituntut dalam memelihara akal ialah menuntut dan menguasai ilmu. Kewajipan menuntut ilmu sebagai agenda penting umat Islam dijelaskan oleh Rasulullah dalam sabdanya yang bermaksud:"Mencari ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim dan Muslimah."

Bertitik-tolak daripada inilah, kita berkewajipan untuk terus memelihara akal kita dengan ilmu dan pengetahuan. Sebagai hamba Allah, kita tidak seharusnya berhenti melakukannya selagi masih bernafas dan mampu menyedut udara segar kurniaan Allah. Dalam memperkatakan soal ilmu, tidak dapat dinafikan bahawa orang berilmu mampu menguasai sesuatu malah manusia lain yang kurang ilmunya atau tidak berilmu. Orang berilmu dalam sesuatu bidang, tidak akan bersusah payah untuk menyelesaikan setiap masalah yang dihadapinya berbanding orang lain yang tidak berilmu.

Sebelum sesuatu langkah akan diambil, seseorang yg berilmu akan berfikir semasak-masaknya sebelum meneruskan tindakannya. Berbeza dengan orang yang tidak berilmu, mereka mudah terburu-buru untuk bertindak tanpa menggunakan akal fikirannya. Implikasinya, segala tindakannya itu berkemungkinan akan mengundang masalah yang lebih besar.

Allah mewajibkan setiap Muslim supaya terus menuntut ilmu. Sebagai bonusnya, Allah memberikan kedudukan yang tinggi kepada mereka ini. Ia dapat dilihat di kalangan masyarakat hari ini. Mereka yang mempunyai ilmu dan kepakaran dalam sesuatu bidang, akan dihormati dan diberikan kemuliaan di tengah masyarakat. Kadangkala, mereka juga turut diberi kepercayaan untuk menjadi jurucakap malah menjadi pemimpin dalam sesuatu perkara.Bagi orang yang beriman, semakin tinggi ilmu diperolehi akan membuatkannya lebih tawaduk atau merendah diri kpd Allah S.W.T. Ia menunjukkan bahawa seseorang yang berilmu akan semakin taat kepada Tuhannya. Inilah darjat yang dimiliki oleh ilmuwan Islam atau lebih tepat lagi disebut ulama’.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang yang takut (taat) kepada Allah di kalangan hamba-Nya ialah ulama (orang yang berilmu)." (Surah al-Fathir: 28). Daripada mafhum ayat tersebut, kita dapat fahami dan perhalusi bahawa ketaatan manusia kepada sesuatu perkara adalah berasaskan kepada kefahaman dan penghayatannya kepada perkara tersebut. Dan ketaatan serta penghayatan tersebut tidak dapat diperolehi melainkan dia berilmu.Tidak dapat dinafikan, kedudukan orang berilmu dengan orang jahil sememangnya berbeza terutama dari segi pemikiran dan cara tindakannya.

Maka benarlah seperti firman Allah di atas yang menjelaskan bahawa orang yang tahu memanfaatkan akalnya mampu untuk menerima segala bentuk pengajaran dan nasihat.Sesungguhnya, orang yang berilmu bukan saja dihormati dan dikasihi oleh manusia tetapi juga di kasihi oleh malaikat bahkan oleh seluruh makhluk di dunia ini. Ia dibuktikan oleh nas dan dalil al-Quran dan Hadis yang begitu banyak memperkatakan kelebihan orang yang berilmu.

Secara konklusinya, kita semua perlu sedari bahawa ilmu yang dimaksudkan bukanlah terhad kepada ilmu yang berkaitan akhirat atau biasa disebut sebagai ilmu agama. Secara sedar atau tidak, semua ilmu yang terdapat hari ini sama ada mencakupi ilmu dunia atau akhirat, kedua-duanya adalah sunnah kepada manusia untuk mempelajari dan menguasainya. Sekadar perkongsian bersama..=)


0 comments: