Wednesday, January 5, 2011

Merakyatkan Organisasi, Memaknakan Kepimpinan

Amar Ma’ruf Nahi Mungkar adalah kewajipan kepada semua umat Islam. Tugas ini bukan hanya dipikul oleh para ulama’, tuan guru, ustaz/ustazah dan pendakwah sahaja tatapi ia juga sama-sama di bebankan ke atas bahu orang Islam secara umumnya. Justeru itu, gerak kerja Islam ini perlulah mempunyai pengurusan yang begitu rapi dan tersusun bagi membentuk organisasi yang selari dengan matlamat yang ingin dicapai. Firman Allah:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوصٌ

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela agamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh.
(As-Saff:4)

Merancang secara tersusun ( Munazzamah )


Saidina Ali pernah berpesan bahawa :

“Gerak kerja Islam yang rapuh pengurusannya akan mudah dikalahkan oleh gerakan musuh (kafir/munafik/zalim) yang kemas tanzimnya”.

Sistem pengurusan yang munazzamah perlu berasaskan kepada kepimpinan yang berstrategik dan mampu memandu ahli kepada matlamat organisasi yang telah di tetapkan.

Di antara cara yang untuk memastikan organisasi lebih mantap ialah:

1. Menentukan dan menjelaskan misi organisasi kepada anggota organisasi
2. Sentiasa membuat analisa kekuatan dan kekurangan dalaman institusi serta menilai
peluang dan ancaman luaran institusi.
3. Membentuk objektif yang hendak dicapai secara ‘ collective responsible’.
4. menyediakan strategi dan mekanisma untuk mencapai objektif yang hendak dicapai.
5. Menyediakan pelan tindakan berdasarkan strategi dan mekanisma yang sudah di
kenalpasti.


Amanah Kepimpinan

Hadis Ibnu Umar r.a : Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w katanya : Baginda telah bersabda:

“ Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap ahli keluarganya. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap seluruh isi rumah. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia juga akan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin ”.

Hadith riwayat Bukhari, Muslim, At-Tirmidhi, Abu Dawud dan Ahmad

Kepimpinan adalah satu amanah yang amat berat. Ia merupakan satu tanggungjawab, dan bukanlah satu keistimewaan. Di dalam hadith di atas Nabi S.A.W menegaskan kepada seluruh umatnya, betapa setiap kita memikul amanah dan tanggungjawab kepimpinan tanpa mengira status. Suami pemimpin bagi ahli keluarga, isteri pula memikul amanah menjaga rumahtangga. Jika seorang hamba pun turut memikul beban amanah iaitu menjaga harta tuannya, apalagi seorang pemerintah, sudah tentu beban yang dipikul semakin besar iaitu memikul amanah tangggungjawab terhadap mereka yang dipimpin.

Zaman ini, sebilangan kita seolah-olah berlumba-lumba untuk mendapatkan jawatan ketua atau pemimpin, tidak kiralah pemimpin di peringkat persatuan, organisasi, kampung, negeri, dan negara tanpa memikirkan kemampuan diri dan beratnya amanah yang akan dipikul. Al-Habib Abdullah bin Alawi Al-Haddad Rahimahullah, di dalam kitab an-Nasaihu ad-Diniyah wal Wasaya al-Imaniyah menegaskan bahawa memikul tanggungjawab kepimpinan padanya ada bahaya, dan merupakan di antara perkara yang amat berat. Beliau turut membahagikan tugas kepimpinan kepada beberapa tahap mengikut berat dan besarnya amanah :

1. Pemerintah
2. Qadhi / Hakim
3. Penjaga harta anak yatim atau harta waqaf

Contoh pemimpin yang paling hebat ialah Baginda Rasulullah S.A.W. Baginda merupakan pemimpin umat yang tiada bandingannya hingga ke hari ini. Bagindalah pemimpin umat Islam dalam Aqidah, Syariah, dan Akhlak, baginda juga Ketua Negara, Ketua Dakwah, Ketua Perang, dan Ketua Keluarga. Di dalam memimpin baginda telah menunjukkan kepada kita tauladan sebagai seorang pemimpin. Sebagai pemimpin, baginda tidak dilimpahi kemewahan atau apa-apa keistimewaan duniawi yang membezakan baginda dengan para Sahabat. Baginda hidup dalam keadaan zuhud. Para Sahabat sangat menyintai baginda dan akur pada setiap perintah.

Seorang penulis barat, Michael H. Hart di dalam bukunya yang bertajuk The 100 : A Ranking of The Most Influential Persons In History, Revised and Updated For The Nineties, meletakkan Baginda Rasulullah S.A.W. sebagai tokoh pemimpin pada 'ranking' yang pertama mengatasi tokoh-tokoh dunia yang lain. Ini kerana beliau kagum pada pengaruh hebat Baginda dan ketaatan pengikut Baginda yang tidak berbelah bahagi terhadap segala perintah. Bagi para intelek barat, kepimpinan ditakrifkan sebagai seni atau usaha mempengaruhi orang lain ke arah mencapai matlamat. Sebagai contoh, Harold Koontz & Heinz Weihrich mendifinisikan kepimpinan sebagai pengaruh, seni, atau proses mempengaruhi orang supaya mereka akan berjuang dengan rela hati dan penuh semangat ke arah pencapaian matlamat kumpulan.


Konklusi

“ wamakaru wamakarAllah, wAllahu khairul makirin”. Mafhumnya yg bermaksud : “kita merancang dan Allah juga merancang, namun sebaik-baik perancangan ialah perancangan dari Allah S.W.T. Moga-moga Allah memberikan kita semua kekuatan untuk menjalankan amanah kepimpinan dengan sebaiknya. Bukan semata-mata kerana jawatan, pangkat dan harta, namun semata-mata ingin mendapatkan redha Allah..

Takziah dan tahniah di ucapkan kepada kepimpinan baru Majlis A’la dan Exco-Exco Arabic Language Asscociation UIAM 2010/2011 serta kepimpinan baru Mainboard dan Sekretariat Kelab Ma’ruf UIAM 2010/2011

0 comments: