Friday, January 29, 2010

“Antara kemenangan Pro-Aspirasi dan kekalahan Pro-Mahasiswa”

Assalamualaikum sahabat-sahabat yg dimuliakan Allah,

Pertamanya, marilah kita merafakkan seinfiniti kesyukuran kpd Allah, Sang Khaliq yg menciptakan kita, yg menjaga kita, yg juga memberikan nikmat yg paling besar di sisi Islam iaitu nikmat iman dan islam. Selawat dan salam tidak di lupakan ke atas Junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W, sahabat-sahabat baginda, tabi’in, dan juga tabi’-tabi’in.

Alhamdulillah, dalam pada kita semua masih sibuk dan leka dgn kerja kita masing-masing, Allah masih memberikan sy waktu utk sy menulis dalam ruangan blog ini..InsyaAllah, utk entri post pada kali ini, suka sy utk berkongsi dgn sahabat-sahabat semua berkaitan dgn Pilihanraya Kampus yg telah di adakan pada 21 Jan dan 28 Jan yg lepas yg mana serentak di jalankan oleh semua kampus utama di seluruh Malaysia.

Tanggal 21 Jan yg lepas, pilihanraya kampus (PRK) bagi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan juga Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah di jalankan. Seperti biasa, UIAM menggunakan proses pembuangan undi secara E-Undi seperti tahun-tahun sebelumnya berbeza bagi kebanyakan universiti-universiti yg lain di seluruh Malaysia, PRK kali ini pastinya berbeza kerana mereka buat julung-julung kalinya menggunakan sistem E-Undi. Setelah tamat masa utk membuang undi, tibalah masa yg dinantikan. Keputusan rasmi dari pihak universiti masing-masing. Kumpulan Pro-Mahasiswa (Pro-M) mempertahankan kemenangan dengan memperolehi 15 daripada 29 kerusi yang dipertandingkan. Manakala Pro-Aspirasi (Pro-A), bebas dan calon antarabangsa, masing-masing mendapat 4 kerusi.Baki dua lagi kerusi, masing-masing satu di Fakulti Perubatan dan kerusi Antarabangsa di Kuantan kosong ekoran tiada calon yang bertanding di situ. Selain di UIAM, Pro-M hanya menang di Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Di pusat pengajian tersebut, Pro-M menang 11 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan. Manakala Pro-A hanya mendapat 1 kerusi sahaja.

Pro-Aspirasi kekalkan ‘kerajaan kampus’ di 6 IPTA

Sumber di ambil dari : www.themalaysianinsider.com

Kumpulan Pro-Aspirasi menguasai “kerajaan” Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di enam daripada lapan universiti awam yang mengadakan pilihan raya kampus semalam. Institusi pengajian itu yang dikuasai Pro-Aspirasi semalam ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Bagaimanapun kumpulan Pro-Mahasiswa kekalkan penguasaan di Universiti Malaysia Kelantan. Keputusan pilihan raya kampus Universiti Malaysia Pahang belum diperoleh. MPP UM yang sesi pengajian lalu dirampas oleh kumpulan Pro-Mahasiswa kembali kepada Pro-Aspirasi semalam. Kumpulan Pro-Mahasiswa tewas satu kerusi kepada Pro-Aspirasi. MPP UM menawarkan 41 kerusi. Kumpulan Pro-Mahasiswa yang membantah penggunaan sistem pengundian elektronik (e-undi) memperoleh 20 kerusi di MPP UM berbanding 21 buat Pro-Aspirasi. Keputusan rasmi MPP UM dijangka diketahui hari ini ekoran bantahan.

Kumpulan Pro-Mahasiswa memperoleh 11 daripada 45 kerusi MPP di UTM, sekali gus kekal di tangan Pro-Aspirasi. Pro-Mahasiwa hanya bertanding di 37 daripada 46 kerusi dipertandingkan di universiti itu. Di UPSI, kumpulan Pro-Aspirasi menang dengan mudah kerana Pro-Mahasiswa hanya bertanding di lapan daripada 25 kerusi. Ia telah pun dianggap menang pada hari penamaan calon Selasa lalu. Begitu juga di USM, di mana kumpulan Pro-Mahasiswa yang hanya meletakkan empat daripada 26 kerusi MPP yang ditawarkan, menangi di satu kerusi. Dengan itu USM dengan mudah kekal di tangan Pro-Aspirasi manakala satu kerusi dimenangi calon Bebas. Oleh itu ia dilihat sebagai laluan mudah kepada kumpulan Pro-Aspirasi di UPSI dan USM.

Di UKM, kumpulan Pro-Mahasiswa juga dikatakan kalah teruk semalam, menyebabkan bantahan hebat kumpulan berkenaan. Difahamkan kumpulan berkenaan mengadakan “tunjuk perasaan” awal pagi tadi bagi memprotes dakwaan sikap tidak adil pengurusan universiti mengendalikan pilihan raya kampus. Calon kumpulan Pro-Aspirasi bertanding di kesemua 35 kerusi MPP UKM. Sehingga pagi ini keputusan rasmi belum diperoleh. Bagaimanapun kumpulan Pro-Mahasiswa menguasai MPP Universiti Malaysia Kelantan dengan memperoleh tujuh daripada 12 kerusi yang ditandingi.

Di UiTM, kumpulan Pro-Aspirasi yang tidak menghadapi sebarang saingan menang dengan mudah. Mereka menguasai kesemua 50 kerusi yang ditawarkan. Selasa lalu kumpulan Pro-Aspirasi menguasai MPP UPM selepas Pro-Mahasiswa hanya memperoleh 11 kerusi. Bagaimanapun tujuh pelajar, dipercayai dari Pro-Mahasiswa, telah dibatalkan kemenangan mereka atas alasan bertanding secara “berkumpulan” dan menggunakan kempen media baru seperti SMS dan blog. Kali ini pelajar-pelajar yang bertanding juga mewujudkan laman blog di bawah nama “mahasiswakini”. Minggu lalu kumpulan Pro-Mahasiswa telah memenangi MPP Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Islam Antarabangsa. Walaupun pengurusan universiti tidak menggalakkan pertandingan berdasarkan kumpulan tetapi fahaman “politik” Pro-Mahasiswa dan Pro-Aspirasi masih menjadi amalan secara tidak langsung. Pro-Mahasiswa memegang falsafah perjuangan yang alirannya seakan-akan menyerupai Pakatan Rakyat manakala Pro-Aspirasi pula sebaliknya.

Muhasabah buat semua pendokong gerakan Islam

Sahabat-sahabat yg di muliakan Allah..pertamanya marilah kita semua bersama-sama memuhasabahkan diri kita kembali apakah hikmah di sebalik kekalahan yg kita hadapi. Pasti, di segenap fikiran kita semua, pasti ada yg melontarkan persoalan, adakah kekalahan yg kita hadapi ini merupakan suatu teguran dan peringatan dari Allah ataupun apakah dan siapakah penyebab kekalahan kita ini?

Sejarah lampau telah membuktikan tidak semestinya yg kalah akan terus kalah dan tumbang selama-lamanya..yg pasti, kekalahan yg kita telah hadapi itu perlu kita perhalusi sebaik mungkin. Semua jentera yg kita telah gunakan, strategi-strategi, kelengkapan perang, tentera-tentera, hatta panglima tentera tersebut perlu kita kaji dan perhalusi satu persatu..

Proses penaklukan Kota Konstantinople di Turki contohnya, bukanlah satu proses penaklukan yg singkat namun ianya merupakan satu proses penaklukan yg panjang yg akhirnya telah direalisasikan oleh seorang Sultan yg bernama Sultan Muhammad Al-Fateh. Sejarah kekalahan tentera muslimin dalam era Perang Uhud dan kemenangan bergaya mereka juga boleh kita semua jadikan panduan dan pedoman bersama.

Perang Uhud merupakan peperangan kedua yang berlaku dalam sejarah Islam pada tahun ke-3 Hijrah di pinggir Bukit Uhud. Peperangan ini melibatkan tentera Islam yang diketuai oleh Nabi Muhammad S.A.W dan tentera Quraisy yang diketuai oleh Abu Sufyan bin Harb. Punca utama yang mencetuskan peperangan ini ialah perasaan marah dan dendam kaum musyrikin Quraisy yang telah dikalahkan oleh tentera Islam dalam Perang Badar. Mereka berasa tersangat hina kerana tentera Islam yang baru berjaya mengalahkan mereka. Kaum musyrikin Quraisy di bawah kepimpinan Abu Sufyan bin Harb dengan 3000 orang tentera termasuk 3000 ekor unta, 700 tentera berbaju besi, 200 ekor kuda, pasukan pemuzik dan pasukan kaum wanita yang berjumlah 15 orang telah menuju ke Madinah. Ketua angkatan berkuda ialah Khalid al-Walid.


Angkatan tentera Islam dipimpin oleh Nabi Muhammad S.A.W berjumlah 1000 orang tentera yang dibahagikan kepada tiga batalion . Batalion Muhajirin diketuai oleh Mus’ab bin Umar. Batalion Aus diketuai oleh Usaid bin Hudair. Batalion Khazraj dipimpin oleh al-Habbab bin al-Munzir. Pertempuran antara tentera Islam dan tentera musyrikin Quraisy meletus di pinggir Bukit Uhud. Pada awalnya, kemenangan berpihak kepada tentera Islam tetapi akhirnya mereka telah ditewaskan.

Punca kekalahan tentera Islam ialah sikap tentera Islam yang mengingkari arahan Rasulullah s.a.w. Pasukan pemanah meninggalkan kubu masing-masing untuk mengejar harta rampasan perang. Kekalahan dalam Perang Uhud juga telah menimbulkan krisis keyakinan di kalangan umat Islam yang tipis imannya.

Perang Uhud telah memberikan pengajaran kepada tentera Islam agar mentaati serta mengikuti taktik yang ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w.

Memberi gambaran kepada umat Islam menangani sifat-sifat dan bahaya-bahaya yang ditimbulkan oleh golongan munafik. Kesimpulannya jelas kepada kita bahawa perang Uhud amat besar ertinya kepada umat Islam kerana perang ini merupakan satu pengajaran pahit untuk mereka. Mereka mula menyedari tentang pentingnya mematuhi perintah-perintah Rasulullah s.a.w dan para pemimpin. Selepas Perang Uhud umat Islam semakin bersedia menghadapi musuh mereka secara bersama-sama. Pihak Islam mula menyedari bahawa golongan Yahudi dan munafik tidak boleh diharapkan untuk mempertahankan kota Madinah. Umat islam juga menyedari bahawa orang-orang Quraisy tidak akan menghentikan segala tindakan mereka ke atas umat Islam selagi Islam tidak dihapuskan.

Justeru itu sahabat-sahabat semua, janganlah kita semua berdukacita dan menyalahkan sesama sendiri atas kekalahan yg telah kita hadapi. Setiap kemenangan dan kekalahan itu datangnya dari Allah. Jadi, segala yg datangnya dari Allah, pasti ada hikmah di sebaliknya. Kalah sekarang tidak bermakna kita kalah dan kita tumbang selama-lamanya..sebaliknya, marilah kita bersama-sama perhalusi dan mengkaji, apakah pro dan kons percaturan kita semua dalam Pilihanraya Kampus yg lepas..Sekadar perkongsian bersama..=)

Wednesday, January 27, 2010

Pro Mahasiswa kekalkan kuasa MPP di UIAM

KUALA LUMPUR, Jan 22 — Kumpulan Pro-Mahasiswa mengekalkan “kerajaan” Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) malam tadi, buat tahun ke-12 berturut-turut.


Bagaimanapun dalam pilihan raya kampus itu yang diadakan semalam, kumpulan Pro-Mahasiswa mengalami kemerosotan lima kerusi berbanding sesi pengajian sebelum ini.

Dalam pemilihan MPP sesi pengajian 2009/10 ini, mereka memperoleh 15 kerusi daripada 29 kerusi yang dipertandingkan.

Baki dimenangi oleh calon kumpulan yang mengelar diri mereka Pro-Mahasiswa, Bebas dan pelajar asing menerusi lima kerusi yang diperuntukkan kepada mereka.

Sesi lalu mereka memperoleh 20 daripada 29 kerusi di MPP.

Wakil kumpulan Pro-Mahasiswa di peringkat UIAM, Mohd Zaki Shukri memberitahu The Malaysian Insider bahawa calon-calon pihaknya berjaya mengekalkan kemenangan dan penguasaan berturut-turut sejak tahun pengajian 1998/99.

“Walaupun menang 15 kerusi, kami yakin boleh memperoleh sokongan calon-calon Bebas dalam pentadbiran MPP,” katanya.

Ditanya sebab penurunan kerusi yang dimenangi kali, Zaki menjelaskan ia kemungkinan berkaitan dengan kempen “agresif” kumpulan Pro-Aspirasi, antaranya menggunakan cara-cara berkempen yang tidak diizinkan oleh pengurusan universiti.

“Mungkin pelajar tertarik dengan cara-cara kempen mereka dan mungkin mereka lebih menonjol dengan cara kempen mereka... bagaimanapun kami akan membuat kajian untuk memperbaiki kedudukan kami tahun depan.

“Kami juga akan membuat aduan kepada pengurusan universiti mengenai cara kempen kumpulan Pro-Aspirasi,” kata beliau lagi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ia juga berkaitan dengan penurunan peratusan keluar mengundi di peringkat MPP.

“Maklumat yang kami terima peratusan keluar mengundi cuma 59 peratus berbanding 87 peratus sesi lalu.... ini juga mungkin salah satu punca.

“Mengapa peratusan keluar mengundi ini terlalu rendah, juga satu situasi yang perlu dikaji,” katanya.

UIAM juga mengadakan sudut pidato umum, julung kali, menjelang pilihan raya kampus semalam.

Kumpulan Pro-Mahasiswa juga telah menguasai MPP Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) Selangor.

Pada hari penamaan calon tiga hari lalu barisan calon Pro-Mahasiswa memenangi 12 daripada 21 kerusi MPP yang dipertandingkan tanpa cabaran. Ia yakin akan memperoleh empat lagi kerusi pada hari pengundian 27 Jan ini.

Minggu lalu kumpulan Pro-Mahasiswa melibatkan 14 institusi pengajian tinggi awam melancarkan Misi-10 untuk menguasai MPP.

Kumpulan Pro-Mahasiswa juga telah menguasai MPP Universiti Malaysia Terengganu Ahad lalu.

Khamis depan sebanyak enam universiti awam lagi akan mengadakan pilihan raya.


Sumber- http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/50392-pro-mahasiswa-kekalkan-kuasa-mpp-di-uia